Tuesday, 28 April 2015

21 Tips Membuatkan Isteri Anda Jatuh Cinta Setiap Hari


Mudahkah untuk buat seseorang jatuh cinta dengan anda? Jawapannya mungkin ya atau tidak. Bergantung kepada usaha anda juga. Memikat hati seorang gadis mungkin lebih mudah, tetapi cabarannya besar setelah anda berkahwin. 

Orang beriman yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya, dan orang yang paling baik akhlaknya adalah orang yang paling baik terhadap isterinya. - Riwayat At-Tirmizi

Pelbagai tanggungjawab mula digalas, dan anak-anak hadir sebagai penyeri hidup. Hati kadangkala terlupa pada rasa cinta yang disemai di kala berdua dahulu. 

Tetapi, bagaimana caranya membuatkan isteri anda jatuh cinta hampir setiap hari? Mudahkah untuk memenangi hatinya? 

#1 – Panggilan 

Beri nama panggilan manja yang disenangi isteri anda. Sentiasa gunakannya dalam perbualan harian anda. Rasulullah s.a.w sendiri memanggil isteri baginda Aisyah dengan Ya Humaira yang bermaksud Wahai Si Putih Kemerah-merahan. Romantis kan? 

#2 – Lucu 

Pernah dengar tak wanita suka lelaki yang kelakar? Janganlah serius sangat. Banyakkan bergurau dengan isteri anda dan buatnya tersenyum. Kadang-kadang suasana serius dan malang pun boleh menjadi lucu. Kita biasanya suka melihat orang yang kita kasihi tersenyum dari masam mencuka. 

#3 – Dengar 

Dengar dengan khusyuk masalah mereka. Bagi wanita, perkara kecil boleh dianggap sangat besar. Penyelesaiannya mudah sahaja. Jika anda faham, berikan komen. Jika tidak, dengar sahaja dengan teliti. Kebiasaannya selepas meluahkan, mereka akan berasa lega dan melupakannya. Life goes on! 

#4 – Kacak 

Jaga kekemasan dan kekacakan anda di rumah. Tanyakan padanya gaya rambut kegemarannya, dan cuba ikuti jika sesuai. Tidak semestinya kacak rupa paras seperti artis, sedap mata memandang sudah memadai. Perangai yang kacak dan rupa yang manis, pasti jadi bonus untuk anda. 

#5 – Sabar 

Adakalanya wanita mudah berasa tertekan kerana perubahan hormon. Bersabar sekiranya ada hari mereka tidak seperti biasa. Cuba untuk tidak memberi tekanan dengan membuat tanggapan salah dan memarahi mereka. Beri ruang yang selesa untuk mereka bersendirian. 

#6 – Bantu 

Tawarkan diri untuk melakukan kerja di rumah. Nabi Muhammad saw sendiri membantu isterinya melakukan kerja rumah seperti menampal baju dan kasut yang koyak, memasak, membersihkan halaman rumah dan memerah susu kambing. Meskipun Baginda pemimpin yang disegani, Baginda tetap menyantuni isterinya. 

#7 – Beli 

Anda suka masakan isteri? Bantu dia membeli barangan basah seperti ikan dan daging, bersihkannya dan simpan stok setiap hujung minggu. Beri juga senarai idea masakan yang sesuai. Memasak tidaklah sukar, cuma anda perlu membantu untuk menyediakan keperluan dan juga mengemas jika sudah selesai. 

#8 – Gajet 

Jadi anda sukakan gajet elektronik? Secara senyap-senyap, download ringtone lagu kegemaran atau lagu kenangan anda berdua di telefon bimbitnya. Meskipun dia akan tercari-cari ringtone telefon siapa yang berbunyi nanti, dia pasti akan tersenyum bila mengetahui anda download lagu kegemarannya. 

#9 – Kereta 

Orang lelaki biasanya sangat mengambil-berat hal kenderaan mereka. Hantar servis kereta isteri anda, periksa angin tayar secara berkala. Vakum, letak pewangi, malah boleh waxkan juga. Isteri anda pasti akan perasan keretanya yang bersih dan pemanduan yang tip top nanti. 

#10 – Sahabat Baik 

Anda perlu terima hakikat, adakalanya isteri anda ada kawan baik sehidup semati. Ada cerita telah dikongsi mereka sejak belum berjumpa anda lagi. Beri ruang untuk mereka berhubung. Meskipun anda dan mereka tidak serasi, menghormati mereka sudah cukup menggembirakan hati isteri anda. 

#11 – Galakan 

Kadangkala isteri ada minat atau bakat yang terpendam. Suka membuat kek, kraf, menjahit dan sebagainya. Beri galakan untuk mereka menghadiri kelas kerana ia boleh melegakan tekanan, dan melarikan tumpuannya dari tugas harian. Malah, ia boleh menjadi peluang untuk menjana pendapatan tambahan jika kena caranya. 

#12 – Coklat 

Biasanya wanita sukakan coklat. Letak coklat di dalam beg tangan, di meja solek atau di dalam kereta dengan nota cinta yang comel. Selain dari dapat mengalas perutnya yang kosong, anda akan membuat hatinya berbunga-bunga sepanjang hari. Anda juga boleh membuat penghantaran bunga dan coklat pada hari-hari istimewa. 

#13 – Cantik 

Biar isteri anda merasakan dia cantik di pandangan anda. Puji baju barunya, tudungnya. Galakkan dia menjaga kesihatan dan kecantikannya. Apabila dia merasa yakin dengan penampilannya, dia akan berasa lebih gembira. Cantik tidak semestinya kurus dan bermekap mampan. Cukuplah manis dipandang, sopan serta ayu. 

#14 – Temujanji 

Walaupun sudah berkeluarga, anda masih boleh dating bersama. Jika ada anak kecil, pilih malam minggu dan tonton video pilihan dengan popcorn bersama. Jika si dia bekerja, buat kejutan makan tengahari. Sesekali dalam sebulan, pastikan anda berdua meluangkan masa berdua, walaupun window shopping sahaja. 

#15 – Bertukang 

Sebagai lelaki, anda juga perlu tahu asas membetulkan mentol rosak, paip air meleleh ataupun mendrill dinding. Terdapat banyak panduan di internet dan juga alat bantu moden. Paling kurang, pastikan anda tahu siapa yang boleh dihubungi untuk membantu dengan segera bila diperlukan. 

#16 – Ibu Bapa 

Memang benar, syurga isteri berada di telapak kaki anda. Sesekali, beri ruang kepada dia melepaskan kerinduan terhadap keluarganya. Sertai aktiviti keluarganya seperti ziarah di hari raya. Ingat bahawa tanpa mereka menjaga isteri anda dengan baik dahulu, anda mungkin tidak dapat memilikinya sekarang. 

#17 – Masak 

Lelaki yang pandai memasak sahamnya memang tinggi. Tetapi anda boleh sahaja menyediakan masakan yang ringkas untuk mengambil hatinya. Ada harinya dia demam, anda boleh sediakan bubur nasi untuk keluarga. Buat sarapan mudah atau sekali-sekala masak secara sukarela di hari-hari dia letih. Dia pasti menghargainya. 

#18 – Hubungi 

Walaupun anda akan berjumpa setiap hari, cuba hubungi dia setiap hari bertanyakan khabarnya. Sudah makan ke belum misalnya. Tanya dengan ringkas, tanda anda peduli. Hubunginya setiap kali anda terdetik. Kadangkala, ia jalinan psikik, anda telefon dia, dia juga sedang menelefon anda. Ia comel. 

#19 – Berpimpin Tangan 

Jika berjalan, cuba berpimpin tangan. Ia akan memberi mood gembira dan bercinta juga. Bukan sahaja dia akan merasa disayangi, dosa-dosa kecil anda juga akan jatuh berguguran nanti. Tidak salah menunjukkan sedikit kemesraan di khalayak kerana dia kan memang 200% isteri anda. 

#20 – Rezeki 

Setiap isteri pasti gembira jika suami mencari rezeki yang halal lagi berkat untuk keluarganya. Bekerja bersungguh-sungguh demi keluarga anda, meskipun isteri bekerja. Sekali-sekala, belanja si dia pakaian baru, atau makan di tempat istimewa. Dia pasti menghormati anda sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab. 

#21 – Imam 

Hati wanita biasanya mudah lembut apabila berada di belakang imamnya. Didik hati mereka dengan kebaikan, tegur sekiranya diperlukan. Di sebalik semua keromantisan di dunia ini, sentuh hati mereka dengan menjadi imam di rumah anda sendiri. Biar mereka mendengar sendiri doa anda, dan mengaminkannya setiap hari. 

Rumusan 

Tidak semestinya anda mengamalkan kesemuanya untuk membuat isteri anda jatuh hati setiap hari. Hati wanita sangat mudah tersentuh, walaupun anda membuat satu sahaja di antaranya. 

Konsistensi adalah paling penting. Ia membina rasa percaya. Cinta adalah apabila masing-masing saling melengkapi dan sentiasa cuba memperbaiki. - Dalin Ali

Seorang isteri adakalanya mengorbankan segala-galanya untuk berada di sisi anda. Keluarga, kawan baik, kerjaya, malah kecantikannya untuk melahirkan zuriat anda. 

Mudah sahaja untuk menzahirkan rasa cinta untuk mereka. Bukan kemewahan yang membahagiakan mereka, tetapi rasa cinta yang sentiasa mekar. 

Hargai mereka. Jangan lupa mencuri hatinya setiap hari! 

1 comment: